Saturday, June 29, 2013

Kuala Besut: Salah SPR Jika Kedudukan 16-16


TEMERLOH: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut ini Dewan Undangan Negeri Terengganu (Dun) berkedudukan 16-16 sehingga menyulitkan kedudukan kerajaan negeri itu.

Tuan Ibrahim berkata, SPR sendiri yang mengatur kawasan pilihan raya secara genap sehingga memungkinkan kedudukan menjadi seri antara kerajaan dan pembangkang.

“Takdirnya kedudukan menjadi 16-16 selepas PRK nanti, kita salahkan kegagalan SPR kerana mengatur kerusi secara genap. Sepatutnya jumlah kawasan pilihan raya mestilah angka ganjil, baru boleh dapatkan kemenangan,” katanya dalam sidang media sejurus selepas mesyuarat Badan Perhubungan PAS Pahang hari ini.

Kerusi Kuala Besut kosong berikutan kematian Adunnya, Dr A Rahman Mokhtar baru-baru ini. Pada PRU lalu Allahyarham memperolehi 8,809 undi, manakala calon PAS mendapat 6,375 undi.

Kedudukan dalam Dun Terengganu selepas PRU13 lalu hanya berbeza dua kerusi antara BN dan Pakatan Rakyat di mana BN mempunyai 17 kerusi manakala Pakatan 15 kerusi.

Jika calon Pakatan menang dalam PRK Kuala Besut ini bermakna bilangannya akan menjadi sama banyak iaitu 16:16 dalam Dun yang mempunyai 32 kerusi itu.

Tuan Ibrahim berkata, PRK ini bukan sahaja sangat penting dan kritikal kepada kepada PR dan BN, malah tumpuan yang lebih utama ialah kepada SPR sendiri.

“Penting juga bagi rakyat untuk melihat SPR yang mengendalikan PRK tersebut nanti sama ada berkeras untuk menggunakan dakwat kekal yang dianggap kontroversi dan penipuan itu atau bagaimana.

“Bagi kita jika SPR kehilangan idea, kita cadang gunakan inai saja nanti,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, berkata PAS negeri ini akan menghantar 1,000 petugas melalui tiga fasa dengan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN) dilantik sebagai ketua kotingen PAS Pahang.

“PAS Terengganu meletakkan PAS Pahang bertugas di unit peti undi (UPU) Kampung Nangka. Peti undi tersebut pernah dimenangi PAS dengan majoriti lebih 700 undi pada PRU 1999. Kerajaan PAS dulu banyak memberikan kelulusan hak milik tanah kepada penduduk.

“Bagaimanapun dari segi peluang PAS Pusat meletakkannya 50:50 berikutan kawasan yang kalah pada PRU lepas ialah di Pulau Perhentian, pesisir pantai dan kem tentera di Gong Kedak sementara kawasan bandar dan pinggir bandar semuanya dimenangi PAS,” ujarnya.

Mengenai isu, Tuan Ibrahim berkata pada masa ini penduduk di Kuala Besut sendiri sudah membangkitkan janji-janji yang dibuat BN semasa PRU dulu.

Tak Mungkin Berlaku DUN Tergantung Di Terengganu - Ahli Politik



KUALA LUMPUR: Mungkinkah Dewan Undangan Negeri Terengganu berkeadaan tergantung selepas satu pilihan raya kecil diadakan tidak lama lagi jika keputusannya menyaksikan 32 kerusinya dikuasai sama banyak oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat?

Beberapa ahli politik berpendapat keadaan itu tidak mungkin berlaku.

Kematian anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Besut Dr A. Rahman Mokhtar daripada BN memerlukan satu pilihan raya kecil diadakan di negeri itu. Kematian beliau menyebabkan BN kini hanya menguasai 16 daripada 17 kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum 5 Mei lepas, manakala Pakatan Rakyat menguasai 15 kerusi (PAS 14, PKR satu).

Sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya kecil yang perlu diadakan sebelum 27 Ogos ini, maka kedudukan jumlah kerusi yang dikuasai kedua-dua pihak ialah 16-16.

Walaupun ramai berpendapat keadaan seri itu memungkinkan satu pilihan raya baru diadakan, namun ahli politik yang ditemu bual Bernama berkata ia tidak semestinya demikian.

Ketua MCA Terengganu dan bekas anggota exco, Datuk Toh Chin Yaw berkata, undipemutus speaker Dun, yang kini disandang Mohd Zubir Embong, akan membolehkan BN terus berkuasa di negeri itu.

"Pengerusi mana-mana mesyuarat mempunyai undi pemutus. Sekiranya keputusan undian adalah seri, mengikut peraturan tertentu, pengerusi (speaker) akan melaksanakan undi pemutusnya," kata beliau.

Sekiranya jumlah kerusi berada dalam keadaan seri iaitu 16-16, kerajaan BN akan memperoleh satu undi majoriti melalui undi pemutus yang diberi speaker.

Naib presiden PKR, Tian Chua mempunyai pendapat serupa apabila beliau berkata,sekiranya PAS memenangi kerusi Kuala Besut pada pilihan raya kecil itu dan menjadikan kedudukan kerusi 16-16, pilihan raya tidak perlu diadakan semula.

"Sama ada speaker adalah anggota dewan undangan negeri atau tidak, prinsipnya ialah penyandang kerusi itu boleh memberi undi pemutus sekiranya jumlah kerusi adalah seri. Speaker akan memberi undinya dan BN akan terus berkuasa," katanya.

Beliau berkata, pertukaran kerajaan hanya akan berlaku jika Adun daripada parti pemerintah berpaling tadah. - BERNAMA

Guna PRK Kuala Besut Untuk Tuntutan PRU Yang Adil


KOTA BHARU: Jawatankuasa Himpunan Aman Blackout 505 perlu mengkaji untuk menambah ruang tuntutan pada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk lebih telus sempena PRK Kuala Besut akan datang.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa (gambar), berkata sekiranya tuntutan itu tidak dilaksanakan sebelum PRK Kuala Besut, Husam mencadangkan Himpunan Aman Blackout 505 meningkatkan lagi permohonan mereka sehingga akhirnya ia akan menjadi mercu tanda sebuah pilihanraya yang benar-benar bebas dan adil.

“Kita tidak mahu peristiwa PRU berulang lagi di sini pada pendapat saya tuntutan PRK yang adil lebih penting dari PRK itu sendiri," katanya.

Sambungnya, sekiranya tuntutan tetap tidak dilaksanakan, ada baiknya Pakatan Rakyat menolak untuk menyertai PRK itu.

Ini kerana katanya pembaikan sistem PRU lebih mustahak berbanding pilihanraya itu sendiri.

Bagaimanapun, jelasnya SPR perlu mengkaji untuk mengadakan teknik pengundian yang lebih telus berbanding perjalanan PRU lalu agar lebih bebas terhadap tentera.

Tegasnya, PAS perlu menjadikan tuntutan pilihanraya kali ini lebih bebas dari SPR melalui tentera dijadikan tuntutan penting sebelum PRK diadakan.

“Pada masa yang sama media sekali lagi kita tuntut supaya menjadi lebih bebas dan ini adalah ujian besar untuk SPR lebih telus dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Husam berkata demikian kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas berhubung PRK Kuala Besut yang akan diadakan nanti selepas Adunnya meninggal dunia dua hari lalu.

Pada masa yang sama beliau berkata Pilihanraya Kecil Dun Kuala Besut adalah ujian serta ruang penting pada Pakatar Rakyat khususnya dalam usaha untuk menawan negeri itu setelah gagal baru-baru ini.

Jelasnya, rakyat Terengganu juga berpeluang melalui PRK untuk memperbetulkan pentadbiran kerajaan Terengganu untuk mendapatkan faedah dari habuah Royalti di negeri itu yang lebih memihak pada rakyat.

“Sekiranya PAS memenangi PRK itu, iaitu akan memperolehi 16 kerusi DUN (kini 15), berpeluang menggunakan kuasa yang ada untuk menuntut royalti sangat memberi kesan,”ujarnya.

Friday, June 28, 2013

SPR: Dakwat Lebih Baik Untuk P'raya Kecil Kuala Besut



Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata suruhanjaya itu akan menggunakan dakwat kekal yang lebih baik dalam pilihan raya kecil DUN Kuala Besut.

Laporan Sin Chew Daily di lamannya hari ini menyebut demikian dengan memetik kenyataan Wan Ahmad.

Penggunaan dakwat tersebut menimbulkan kontroversi apabila terdapat pengundi yang berjaya menanggalkanya dengan mudah ketika pilihan raya umum 5 Mei.

Isu berkenaan kini menjadi antara perdebatan utama di Dewan Rakyat apabila seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menjelaskan bahawa bahan kimia dalam dakwat kekal itu digantikan dengan bahan pewarna makanan.

Shahidan juga menjelaskan bahawa, nama syarikat pembekal tersebut tidak boleh didedahkan, didakwa atas sebab keselamatan.

Sementara itu, seorang lagi menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga menjelaskan, dakwat tersebut tidak mengandungi bahan kimia berbahaya bagi memastikan keselamatan rakyat.

Ia berbeza dengan dakwat kekal yang kekal sehingga dua bulan seperti digunakan di India, yang menurutnya memberi kesan yang bahaya kepada masyarakat.

Blok pembangkang pula masih belum berpuas hati dengan penjelasan kerajaan dan mengancam untuk mendedahkan nama syarikat pembekal dakwat tersebut.

MP Pandan Rafizi Ramli mendakwa syarikat pembekal dakwat tersebut bukan sahaja tidak mempunyai pengalaman dan dana untuk membekal bahan tersebut.

Tidak Mustahil PAS Menang PRK Kuala Besut



KUALA LUMPUR: Kemenangan bukan suatu perkara yang mustahil dalam suatu pilihan raya kecil (PRK), kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.

Ini, katanya kerana PAS mempunyai pengalaman dan pernah menang pada PRK Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009.

Yang penting, kata beliau, apa juga strategi yang digunakan, matlamat PAS adalah untuk meningkatkan undi dan menjadikan undi PAS lebih banyak daripada BN.

"Kita nak tambah undi kita. Kita berusaha ke arah menambahkan undi kita. Tambah undi, kena undi kita lebih banyak dari BN. Kita akan sepakat seperti pilihanraya-pilihanraya yang lepas.

“Cara-cara kempen itu, cara biasa dalam pilihanraya untuk mendapatkan undi rakyat," jelasnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pihak media mengenai PRK Kuala Besut yang bakal diadakan berikutan kekosongan kerusi Dun Kuala Besut ekoran kematian wakilnya, Dr. A. Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu.

Oleh itu, beliau mahu supaya seluruh cawangan, jentera dan ahli-ahli PAS, khususnya di kawasan Besut dan Dun Kuala besut supaya membuat persiapan awal bagi menghadapi PRK Dun berkenaan.

Beliau yang juga Adun Wakaf Mempelam berkata walaupun menurut rekod PAS hanya menang dua kali di Dun Kuala Besut tetapi tidak mustahil PAS boleh mencipta sejarah dan menang buat kali ketiga.

"Bukan perkara yang mustahil untuk menang kali yang ketiga. Apa yang berlaku sekarang ini, bukan sahaja Kuala Besut, Dun-dun lain pun begitu,” ujarnya pada sidang media di Pejabat PAS negeri di Kuala Terengganu, semalam.

PRK Kuala Besut Ujian Pertama Kekuatan Umno Dan PAS Selepas PRU-13



SETAKAT ini, ia agak sukar bagi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said untuk memimpin negeri dengan majoriti dua kerusi.

Tetapi ia menjadi lebih sukar pada Rabu lalu apabila beliau dimaklumkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Dr A. Rahman Mokhtar meninggal dunia.

Mesej penting diperoleh Ahmad sewaktu beliau berada di Kuala Lumpur, bagi mengiringi Sultan Terengganu, pada Persidangan Raja-Raja di Istana Negara.

Kematian adalah sebahagian daripada kehidupan tetapi ini mungkin menggoncang keseimbangan kuasa di Terengganu.

Majoriti dua kerusi Barisan Nasional (BN) di 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah seperti "tergantung kepada tali dari bangunan tinggi".

Tetapi, dengan pemergian Dr Rahman, Ahmad mesti berasa seperti beliau kini "tergantung oleh benang yang halus".

Pihak media menyebarkan spekulasi mengenai DUN 'tergantung' bakal berlaku.

Ia tidak pernah berlaku sebelum ini dan segala macam senario yang sedang diperkatakan mengenai apa sahaja akan berlaku sekiranya pilihan raya kecil (PRK) akan berpihak kepada PAS.

Lagipun, Terengganu tidak mempunyai reputasi sebagai sebuah negeri yang mempunyai kubu kuat parti.

Pilihan raya negeri kemungkinan akan berlaku.

Tetapi kerana kedua-dua pihak mengetahuinya secara jelas bahawa Besut merupakan kubu kuat Umno.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini, Umno menyapu bersih di Besut dan Setiu, di mana calon-calon parti itu memenangi kedua-dua kerusi Parlimen serta semua kerusi DUN di kedua-dua kawasan.

PAS pula menyapu bersih di Kuala Terengganu, memenangi kerusi parlimen dan empat kerusi DUN.

Individu paling berpengaruh di Besut adalah tidak selain Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, yang dikenali sebagai ahli politik-teknokrat.

Banyak bergantung kepada Idris untuk memastikan Kuala Besut kekal dengan BN dan beliau boleh dikatakan sebagao pilihan utama bagi pilihan raya kecil itu.

Kematian Dr Rahman, yang berlaku hampir dua bulan selepas pilihan raya umum, menimbulkan cakap-cakap di kalangan orang Umno.

Ramai yang hairan bagaimana Dr Rahman boleh bertanding kerana beliau menjalani pembedahan untuk kanser paru-paru dua bulan sebelum PRU-13.

Mereka berkata, perkara yang menyedihkan apabila ia dilihat sebagai satu penghinaan terhadap kriteria calon yang boleh menang.

"Calon boleh menang harus mampu pergi jauh dan semua orang dapat melihat beliau tidak sihat.

"Pembedahan itu menjejaskan suaranya. Ianya sangat lembut dan kedengaran seperti suara wanita," kata seorang ahli politik Umno di Besut.

Penyakit Rahman telah dirahsiakan dan beliau menewaskan calon PAS, Napisah Ismail dengan majoriti besar iaitu 2,434 undi dan dilantik semula ke dalam exco negeri.

Beliau sakit pada hari terakhir pada mesyuarat DUN minggu lepas dan tidak pulih.

Dalam pada itu, terdapat juga beberapa isu yang menyalahkan perkara berlaku.

Pihak dalaman berkata, Idris yang merupakan Ketua Umno bahagian Besut mahu meletakkan seorang calon lelaki yang baru di Kuala Besut tetapi Menteri Besar bertegas mahukan Dr Rahman.

"Calon seterusnya mesti orang tempatan dari kawasan itu yang memahami keperluan rakyat dan juga sihat.

"Idris merupakan tokoh utama di Besut, ia bakal menjadi kempen yang besar buat beliau.

"Calon yang perlu mendapat restu dan sokongan," kata Dr Azmi Omar yang berasal dari cawangan Jerteh di Besut.

Beberapa pihak dalam Umno memberi kredit kepada Idris untuk mengembalikan negeri daripada pengaruh PAS selepas beliau mengambil alih sebagai Menteri Besar pada tahun 2004 kerana Besut merupakan pusat aktivisme PAS di Terengganu pada 1980-an dan 1990-an.

Pada Amanat Haji Hadi yang menjadi kontroversi, di mana ahli-ahli Umno dikutuk sebagai orang kafir, apabila Besut terkenal kerana mengamalkan "dua imam."

Ahli-ahli PAS enggan diketuai oleh imam kerajaan dan berkeras berdoa di belakang imam daripada parti mereka, yang membawa kepada keadaan mempunyai dua imam dalam satu masjid.

Kali terakhir PAS memenangi Kuala Besut pada 1999, menerusi calon Nik Zawawi Nik Salleh, yang kini merupakan setiausaha Majlis Syura bagi parti itu.

Tahun-tahun berikutnya menyaksikan kuasa dalaman berjuang di kalangan kumpulan ulama yang bersaing di Besut bagi mendapatkan pengaruhnya.

Perbalahan ini adalah sebab mengapa PAS terpaksa berpuas hati dengan calon wanita dalam pilihan raya umum bulan lepas apabila beliau dilihat sebagai seorang tokoh yang neutral.

Pilihan raya kecil itu juga akan menjadi ujian bagi Ketua PAS Besut yang baru iaitu Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad yang terkenal dengan perbahasannya yang 'panas'.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, yang berasal dari Terengganu, berkata parti itu mempunyai jentera politik yang baik di Besut tetapi mengakui "ianya tidak akan mudah".

Tetapi tiada siapa yang memperlekehkanya walaupun Besut menjadi "jajahan Idris" dan Kuala Besut merupakan kerusi Umno.

Besut terletak di sempadan Kelantan dan Umno boleh mengharapkan PAS Kelantan sebagai senjata untuk membuat kehadirannya dirasai dalam kempen.

Kuala Besut mempunyai 99 peratus penduduk berbangsa Melayu dan ia akan menjadi satu perjuangan Melayu di antara dua musuh tradisi yang sering 'bertegang urat leher' antara satu sama lain tetapi juga menerima satu sama lain sebagai saudara sesama Islam.

Peluang Untuk SPR Berubah Di PRK Kuala Besut



KOTA BHARU: Pilihan raya kecil Kuala Besut akan memperlihatkan samada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu berubah sebagaimana tuntutan rakyat atau akan terus kekal menjadi 'Suruhanjaya Suruhan Umno'.

Exco kerajaan negeri Kelantan Datuk Abdul Fattah Mahmood mendakwa, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut nanti akan memperilihatkan perkara ini.

“Dari sudut politik, kita tidak mengira sama ada kedudukan kerusi Dun Terengganu itu pada mejoriti 17- 15, tetapi kita tuntut pertama-tama sekali ialah SPR yang telus, SPR yang benar-benar menjalankan tugasnya sebagai SPR, tidak SPR sebagaimana dakwaan sesetengah pihak Suruhanjaya Suruhan Umno,” kata Fattah.

Fattah yang juga Adun Bukit Panau bercakap kepada wakil Harakahdaily pada majlis pelancaran Kempen Hijau Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di Tunjong, dekat sini pagi tadi.

Kenyataan Fatah ini dibuat ekoran serangan bertalu-talu terhadap SPR dan penjelasan yang bersimpang siur yang dibuat oleh badan yang sepatutnya bebas itu.

Isu dakwat kekal yang tidak kekal menjadi fokus utama serangan kepada SPR di samping pelbagai kecacatan dan salah laku yang berjalan sepanjang pilihan raya ke 13 lalu.

PAS Terengganu sudah memfailkan dua petisyen pilihan raya di negeri itu iaitu untuk DUN Kuala Brang dan Hulu Besut.

Kedudukan dalam DUN Terengganu juga hanya berbeza dua kerusi antara BN dan Pakatan Rakyat di mana BN mempunyai 17 kerusi manakala Pakatan 15 kerusi.

Jika calon Pakatan menang dalam pilihan raya kecil Kuala Besut ini bermakna bilangannya akan menjadi sama banyak iaitu 16:16 dalam DUN yang mempunyai 32 kerusi itu.

Pada PRU-13 5 Mei baru-baru ini BN (yang diwakili Dr A Rahman Mokhtar) memperolehi 8,809 undi, manakala PAS (diwakili Napisah Ismail) mendapat 6,375 undi.

Dengan petisyen yang difailkan oleh PAS Terengganu itu, dakwa Fattah, tekanan semakin kuat kepada BN yang mendapat undi minoriti dalam pilihan raya umum lalu.

Abdul Fatah meminta SPR memikirkan perkara ini iaitu untuk membuat perkara yang betul di saat suruhanjaya ini masih berpeluang untuk merobah menjelang PRU-14 nanti.

“Perkara ini diharap dapat dipertimbangkan Kerajaan Persekutuan agar dapat dikembalikan (pilihan raya bebas, telus dan adil) hak rakyat itu kepada rakyat,” ujarnya.

SPR BARU DI PRK KUALA BESUT- NURUL IZZAH


Hanya ‘SPR baru’ yang layak mengendalikan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Terengganu, kata ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar. 

“(Pilihan raya kecil) Kuala Besut hanya dilaksanakan bila ada pimpinan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang baru dan credible (wibawa).

“Nak teruskan dengan dakwat yang sama, dengan pimpinan (SPR) yang sama?

“Pada saya ini tak boleh diterima pakai,” kata Nurul Izzah ketika membahaskan titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Adun Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia pada 26 Jun 2013, di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu akibat kanser paru-paru.

SPR Terengganu dalam kenyataannya hari ini memberitahu, pilihan raya kecil DUN Kuala Besut boleh diadakan dalam tempoh 60 hari mulai tarikh pewartaan kekosongan DUN selewatnya hingga 27 Ogos depan.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut mengusulkan pemulihan segera SPR melalui satu jwatankuasa parlimen bagi melantik pengendali pilihan raya yang baru dan berwibawa.

“Dewan yang mulia ini mesti sedar bahawa mandat majoriti 51% yang diamanahkan kepada Pakatan Rakyat memberikan hak dan kuasa mewakili suara majoriti rakyat Malaysia.

“Kehendak Rakyat menuntut agar sistem pilihan paya yang nyata gagal dan pincang mesti dipulihkan,” tegas Nurul Izzah. -KD

Thursday, June 27, 2013

BN Yakin Kekal Di Kuala Besut



KUALA LUMPUR 27 Jun – Barisan Nasional (BN) yakin mampu mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut pada pilihan raya kecil berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar yang meninggal dunia pagi semalam.

Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata Dun Kuala Besut merupakan kubu kuat BN dan Allahyarham berjaya meraih majoriti lebih 2,400 undi pada PRU13.

“Kita yakin dapat mempertahankan Dun Kuala Besut, kita di peringkat bahagian Besut akan membuat persiapan rapi dari segi jentera pilihan raya.

“Kita juga akan bermesyuarat minggu ini dengan kehadiran wakil Umno pusat,” kata Idris yang juga anggota Parlimen Besut ketika ditemui pemberita di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau yang juga menrupakan Menteri Pendidikan Kedua berkata, jentera pilihan raya BN peringkat negeri dan pusat akan bekerja keras bagi mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut.

“Saya cukup kenal rakyat dan amat memahami kawasan ini…biarkan pakatan pembangkang mahu cakap apa saja, yang penting rakyat tahu jasa BN dan saya cukup mengenali rakyat Dun Kuala Besut,” katanya.

A. Rahman, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu pada pukul 10.18 pagi akibat kanser paru-paru.

Allahyarham merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri.

Pada PRU13, 5 Mei lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi itu setelah mengalahkan calon Pas Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

PRK Kuala Besut Paling Lewat 27 Ogos


KUALA LUMPUR: Pilihan raya kecil (PRK) Dun Kuala Besut boleh diadakan selewat-lewatnya 28 Ogos depan.

Demikian kata Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Terengganu, Fakhrul Razi Ab Wahab, lapor Bernama, hari ini.

Yang Dipertua Dun Terengganu, Mohd Zubir Embong hari ini telah menyerah surat pemakluman rasmi kekosongan kerusi Dun Kuala Besut kepada SPR negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu jam 10 pagi tadi.

Kerusi Dun Kuala Besut kosong ekoran wakilnya, Dr A Rahman Mokhtar, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pagi semalam akibat kanser paru-paru.

Pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) yang berlangsung 5 Mei lalu, allahyarham yang mewakili BN memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,434. Pada PRU12, beliau menang dengan majoriti 2,631 undi.


Sementara itu, Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali melahirkan keyakinan rakyat negeri itu khususnya para pengundi Dun Kuala Besut masih dalam 'mood' mahu berubah, berdasarkan keputusan PRU13.


"PAS bersedia hadapi PRK Kuala Besut kerana memenuhi peruntukan undang-undang dan sistem demokrasi ekoran kerusi tersebut yang kosong kini, kita yakin 'mood' rakyat nak lihat perubahan bersama kita," ujarnya.

Pengundi Kuala Besut Masih Dalam ‘Mood’ Mahu Berubah


KUALA LUMPUR: PAS Terengganu bersedia menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Ini selaras dengan peruntukan undang-undang dan sistem demokrasi ekoran kekosongan kerusi Dun berkenaan ekoran kematian wakilnya, Dr A. Rahman Mokhtar, 55, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada pukul 10.18 semalam akibat kanser paru-paru.

Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali (gambar) melahirkan keyakinan rakyat negeri itu khususnya para pengundi Dun Kuala Besut masih dalam 'mood' mahu berubah, berdasarkan keputusan Pilihan raya Umum kali ke-13 yang lalu.

"PAS bersedia hadapi PRK Kuala Besut kerana memenuhi peruntukan undang-undang dan sistem demokrasi ekoran kerusi tersebut yang kosong kini, kita yakin 'mood' rakyat nak lihat perubahan bersama kita.

"Dan keputusan 'menang' adalah penting kerana akan jadikan kedudukan 16-16," ujarnya dipetik Buletin Online.

Keputusan PRU13 lalu menyaksikan BN Terengganu memenangi 17 kerusi Dun, PAS (14) dan PKR (1).

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memberitahu, PAS bersedia menghadapi PRK Kuala Besut.

Beliau bagaimanapun berkata, PAS menantikan keputusan rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan butiran lanjut perjalanan PRK itu.

"Seperti yang sedia maklum, akan ada PRK apabila berlaku kematian. PAS bersedia menghadapinya, dan menunggu pengumuman rasmi SPR tentang tarikh-tarikh penting, sebelum membuat sebarang keputusan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

PRK Kuala Besut Sukar,Tetapi Kita Ada Harapan- Anwar


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut di Terengganu sebagai kawasan yang mencabar untuk dirampas pembangkang, sekiranya pilihan raya kecil diadakan.


Anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata ini kerana DUN tersebut telah dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti yang besar iaitu 2,434 undi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), pada 5 Mei lepas.


"(DUN Kuala Besut) benar-benar kawasan yang kritikal dan mencabar bagi satu pilihan raya kecil kerana majoriti yang diperoleh BN agak besar. Bagaimanapun, kawasan itu juga besar bagi PAS, jadi kita akan sokong calon PAS.


"PAS akan bermesyuarat segera untuk menentukan siapa yang akan bertanding (di DUN itu)," .


Kerusi DUN Kuala Besut kosong apabila penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu hari ini, akibat kanser paru-paru.


Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lepas, A. Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon PAS Napisah Ismail.


Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Mohd Zubir Embong dilaporkan akan menghantar surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kuala Besut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok, untuk tindakan lanjut.


SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Kuala Besut selepas menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi itu. - .

MARUAH UMNO/BN TERENGGANU DI KUALA BESUT



Belum pun genap dua bulan PRU-13 selesai, politik tanahair sudah membahang semula kehangatannya bila mana berlakunya kekosongan di DUN Kuala Besut, Terengganu berikutan kematian penyandangnya dari BN.

SPR selaku badan rasmi pengendali pilihan raya sudah pun mengeluarkan kenyataan rasmi akan ada PRK di DUN terbabit dan tarikh muktamad bila hari pencalonan dan bila tarikh pengundiannya akan diputuskan dalam masa terdekat.

Sebagaimana penulis ulas semalam, PRK DUN Kuala Besut merupakan penentu kesinambungan kepada pemerintahan BN di negeri Pantai Timur itu. Ia akan menguji sejauh mana kuatnya sokongan rakyat kepada Kerajaan BN Terengganu di mana seandainya BN kekal menguasainya maka selamatlah BN dari dugaan yang mencabar.

Bekalan kemenangan majoriti 2,434 undi pada PRU-13 walau pun selesa tapi ia bukan jaminan untuk BN, lantaran itu amat perlu untuk BN memanfaatkan segala kekuatan bagi menafikan peluang PAS untuk merampas kerusi tersebut.

Maksudnya, jika BN kalah dalam PRK itu maknanya kedudukan dalam DUN akan tergantung kerana penguasaan BN merosot kepada 16 kerusi DUN sementara PAS pula meningkat dari 14 kepada 15, ditambah dengan satu kerusi DUN milik PKR menjadikan jumlahnya sama seperti BN.

Jika berlaku senario itu, maka nasib BN sebagai Kerajaan Negeri bergantung penuh pada undi di tangan speaker sebagaimana dijelaskan oleh rakan penulis, saudara Adamyan dalam perenggan keempat di pautan berikut (klik sini).

Itu lebih dari mencukupi untuk menjelaskan betapa PRK DUN Kuala Besut amat penting dan BN memang terdesak untuk memenanginya kembali demi kesinambungannya serentak dengan itu mempertahankan maruahnya sebagai Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, di pihak PAS tentunya tidak akan berdiam diri sebaliknya parti itu tentu sahaja akan menggandakan usaha meraih undi bagi meningkatkan peluang merampas DUN Kuala Besut dari BN.

Dari satu segi ia kelihatan sukar, namun dunia politik tiada yang mustahil lebih-lebih lagi di saat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang terdesak untuk membuktikan kepimpinannya masih efisien, berpengaruh dan layak untuk terus menerajui parti.

Menang di DUN Kuala Besut bermakna ia satu pengiktirafan yang akan menjamin kesinambungan Hadi sebagai pemimpin utama PAS sekali gus memudarkan usaha-usaha terancangan kumpulan Anwarinas yang mahu menyingkirkannya dari jawatan Presiden.

Andai PAS kalah apatah lagi tewas dengan majoriti yang lebih besar, ia satu bahana yang bakal merobek maruah Hadi dan orang yang akan tersengih gembira tentunya Naib Presiden PAS, Husam Musa.

Berdasarkan senario ini baik BN mahu pun PAS, kedua-duanya terdesak untuk membuktikan kehebatan pengaruh di PRK DUN Kuala Besut kerana ia bukan sekadar soal kemenangan dan kesinambungan, tapi ia adalah pertaruhan yang melibatkan maruah.

PRK Kuala Besut Bakal Tentukan Nasib Terengganu



PETALING JAYA: Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu telah menyebabkan Barisan Nasional (BN) berada dalam kedudukan tidak menentu kerana kegagalan untuk mengekalkan kerusi itu akan menyebabkan satu keputusan dan keadaan yang tergantung.

Sekiranya berlaku, DUN mungkin perlu dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang baru.

Pada pilihan raya umum ke-13, BN kembali merampas kuasa membentuk kerajaan negeri dengan 17 kerusi negeri, lebih dua kerusi berbanding 15 yang dimenangi Pakatan Rakyat.

Dengan kematian Dr A. Rahman Mokhtar, pilihan raya kecil perlu diadakan dan pertempuran untuk Kuala Besut akan menjadi pertandingan hidup atau mati untuk BN kerana PR sememangnya mahu merebut peluang untuk memerintah kerajaan.

Penganalisis politik Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, sekiranya keputusan pilihan raya tidak memihak kepada BN, Terengganu akan ditinggalkan dengan DUN yang tergantung, dengan gabungan pakatan pembangkang yang masing-masing mempunyai 16 kerusi negeri.

"Jika ini berlaku, Sultan boleh memberi peluang kepada BN yang merupakan pemerintah pada masa ini untuk membentuk kerajaan dengan mendapat sokongan majoriti daripada Dewan Undangan Negeri.

"Jika mereka gagal, Sultan akan memberi peluang yang sama kepada Pakatan. Tetapi jika kedua-duanya gagal, Dewan Undangan Negeri perlu dibubarkan dan pusingan pilihan raya yang baru perlu diadakan bagi negeri ini.

"Dalam erti kata lain, pilihan raya Kuala Besut adalah sangat penting kerana ia akan menentukan nasib Terengganu," katanya.

Pada pilihan raya 5 Mei lalu, Dr Rahman maraih 8,809 undi manakala Napisah Ismail (PAS) mendapt 6,375 untuk memenangi majoriti 2,434.

Terdapat 144 undi rosak dengan kawasan pilihan raya itu mempunyai 17,713 pengundi.

Prof Dr Mohamed yang merupakan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) berkata kedudukan DUN yang tergantung akan mengakibatkan krisis kerana parti yang satu lagi boleh mendakwa mereka mempunyai mandat untuk mentadbir negeri.

Beliau berkata, apa yang pasti PR meletakkan satu perjuangan yang baik dan BN perlu bersedia dengan lebih baik untuk mempertahankan kerusi itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Terengganu Datuk Razif Abdul Rahman berkata BN akan melakukan semua yang terdaya untuk mengelakkan DUN digantung.

"Kuala Besut diketahui adalah kubu kuat Umno, tetapi kita tidak akan mengambil ini sebagai perkara yang mudah.

"Keadaan Dewan Undangan Negeri yang tergantung akan menjadi satu tragedi, oleh itu kita mesti melakukan semua yang kita boleh untuk memastikan kemenangan yang meyakinkan," katanya ketika dihubungi.

Razif berkata calon yang dipilih untuk pilihan raya kecil itu adalah yang sama berkaliber seperti Dr Rahman.