Thursday, June 27, 2013

Pengundi Kuala Besut Masih Dalam ‘Mood’ Mahu Berubah


KUALA LUMPUR: PAS Terengganu bersedia menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Ini selaras dengan peruntukan undang-undang dan sistem demokrasi ekoran kekosongan kerusi Dun berkenaan ekoran kematian wakilnya, Dr A. Rahman Mokhtar, 55, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada pukul 10.18 semalam akibat kanser paru-paru.

Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali (gambar) melahirkan keyakinan rakyat negeri itu khususnya para pengundi Dun Kuala Besut masih dalam 'mood' mahu berubah, berdasarkan keputusan Pilihan raya Umum kali ke-13 yang lalu.

"PAS bersedia hadapi PRK Kuala Besut kerana memenuhi peruntukan undang-undang dan sistem demokrasi ekoran kerusi tersebut yang kosong kini, kita yakin 'mood' rakyat nak lihat perubahan bersama kita.

"Dan keputusan 'menang' adalah penting kerana akan jadikan kedudukan 16-16," ujarnya dipetik Buletin Online.

Keputusan PRU13 lalu menyaksikan BN Terengganu memenangi 17 kerusi Dun, PAS (14) dan PKR (1).

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memberitahu, PAS bersedia menghadapi PRK Kuala Besut.

Beliau bagaimanapun berkata, PAS menantikan keputusan rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan butiran lanjut perjalanan PRK itu.

"Seperti yang sedia maklum, akan ada PRK apabila berlaku kematian. PAS bersedia menghadapinya, dan menunggu pengumuman rasmi SPR tentang tarikh-tarikh penting, sebelum membuat sebarang keputusan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

No comments:

Post a Comment