Thursday, June 27, 2013

BN Yakin Kekal Di Kuala Besut



KUALA LUMPUR 27 Jun – Barisan Nasional (BN) yakin mampu mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut pada pilihan raya kecil berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar yang meninggal dunia pagi semalam.

Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata Dun Kuala Besut merupakan kubu kuat BN dan Allahyarham berjaya meraih majoriti lebih 2,400 undi pada PRU13.

“Kita yakin dapat mempertahankan Dun Kuala Besut, kita di peringkat bahagian Besut akan membuat persiapan rapi dari segi jentera pilihan raya.

“Kita juga akan bermesyuarat minggu ini dengan kehadiran wakil Umno pusat,” kata Idris yang juga anggota Parlimen Besut ketika ditemui pemberita di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau yang juga menrupakan Menteri Pendidikan Kedua berkata, jentera pilihan raya BN peringkat negeri dan pusat akan bekerja keras bagi mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut.

“Saya cukup kenal rakyat dan amat memahami kawasan ini…biarkan pakatan pembangkang mahu cakap apa saja, yang penting rakyat tahu jasa BN dan saya cukup mengenali rakyat Dun Kuala Besut,” katanya.

A. Rahman, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu pada pukul 10.18 pagi akibat kanser paru-paru.

Allahyarham merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri.

Pada PRU13, 5 Mei lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi itu setelah mengalahkan calon Pas Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

No comments:

Post a Comment