Friday, July 19, 2013

Krisis dalaman PAS kian meruncing selepas PRU-13

Idris Ahmad, Pengarah Jabatan Tarbiyah dan Perkaderan PAS

Pemimpin yang merasa diri mereka hebat, sikap ego dalam jemaah dan tidak suka ditegur adalah antara punca berlakunya pergeseran dan saling kutuk mengutuk antara pemimpin PAS.

Menurut Idris Ahmad, Pengarah Jabatan Tarbiyah dan Perkaderan PAS, keadaan bertambah buruk apabila ada kalangan pemimpin PAS yang mendengar dan lebih percaya kepada tokoh tertentu di luar parti berbanding rakan sejawat atau ahli PAS sendiri.

Menulis dalam kolumnya di Harakah baru-baru ini, beliau menyelar pemimpin PAS yang tidak turun ke akar umbi, jarang bersua muka dengan ahli dan pengundi, justeru menyebabkan terbentuknya banyak persepsi negatif terhadap orang lain.

Pandangan Idris memberi gambaran masalah dalaman PAS semakin serius selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lalu. Prestasi parti yang tidak sebaik diharapkan, ditambah pula dengan kejatuhan kerajaan PAS Kedah dan kekalahan ramai pemimpin berjawatan, memperlihat pergeseran dan percanggahan pendapat yang semakin ketara.

Perubahan kepemimpinan PAS di Kelantan dan penyisihan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Husam Musa daripada EXCO adalah antara manifestasi masalah parti bertambah parah.

Kutuk mengutuk sesama ahli

Idris jelas bimbang dengan perkembangan dalam PAS akhir-akhir ini, terutama dalam cara pemimpin PAS menangani beberapa isu. Mereka bercanggah pendapat dalam soal penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan institusi Raja-Raja Melayu, hubungan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kaedah politik beliau, serta cara menghadapi teguran dan pendirian pemimpin DAP seperti Karpal Singh dan Lim Guan Eng berhubung pelaksanaan hukum hudud dan kepentingan Islam.


Mungkin juga beliau terguris dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Husam yang mengkritik pemimpin PAS yang tidak menyokong perhimpunan anjuran Anwar membantah keputusan PRU-13. Padahal, majoriti pucuk pimpinan PAS, seperti juga DAP, sudah menerimanya. Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib, misalnya, menghormati suara dan pilihan rakyat, justeru mengecam perhimpunan bertujuan menjatuhkan kerajaan yang terbentuk secara demokrasi.

Mat Sabu dan Husam diketahui umum adalah penyokong Anwar dan sebahagian daripada kumpulan Anwarinas dalam PAS. Kedua-duanya kalah merebut kerusi Parlimen pada PRU lalu. Kenyataan Husam yang menganggap pemimpin PAS yang gagal hadir dalam beberapa perhimpunan anjuran Anwar sebagai pengkhianat sudah menimbul kemarahan ramai pemimpin PAS sehingga ada yang mula sangsi terhadap kesediaan beliau bersama jemaah PAS lalu melabelkan beliau sebagai pengkhianat sebenar. Idris menegur: Jangan hina pandangan jemaah lain. Jika tidak setuju, gunalah bahasa beradab. Tidak setuju tidak mengapa tetapi jangan menghina. Jika dituduh, pergilah bertanya kepada yang menuduh untuk dapatkan penjelasan.

Beliau tidak bersetuju pemimpin PAS menggunakan media, terutama media sosial untuk meluahkan perasaan atau mengkritik sesama sendiri. Cara ini bukan saja tidak berhemah, malah mendedahkan sesuatu krisis atau pergeseran kepada umum. Ahli percaya apa yang ada dalam Facebook, portal dan blog; pandangan jemaah tidak dipeduli. Jangan guna media untuk kritik sesama sendiri walaupun rasa kita betul. Orang awam melihat dan menilai kenapa sesama ahli PAS bergaduh. Jika kedua-dua pihak bergaduh guna media, orang awam menghukum kita.

Rakyat dapat rahmat BN menang

Berasaskan penilaian Idris, adalah melucukan apabila sisipan Fikrah dalam Harakah 24-27 Jun 2013 membawa tajuk Bahana Tolak Pakatan Rakyat di muka hadapannya. Kononnya, rakyat menolak tuah dengan tidak memilih pembangkang jadi kerajaan, justeru hilang peluang untuk menikmati kehidupan tanpa perlu bayar tol, hutang PTPTN dan kos hidup yang lebih rendah. Hakikatnya, majoriti rakyat di Malaysia mendapat rahmat daripada kemenangan Barisan Nasional. Allah mentakdirkan begitu.

Penolakan pembangkang bukan bahana tapi keputusan jelas bahawa rakyat tidak percaya kepada janji pembangkang. Jika pembangkang sudah kata manifesto bukan janji dan janji pula tidak perlu ditunai, apa ke bodoh rakyat nak percaya? Pembangkang mempunyai rekod pembohongan dan janji palsu yang tebal. Rakyat tidak yakin pembangkang boleh turunkan harga kereta atau harga minyak seperti didakwa.

Walaupun pembangkang mendakwa kerajaan menyekat kebebasan bersuara, pembangkang membuktikan ia lebih teruk. Terbaru, cadangan pembangkang memboikot media arus perdana sehingga bankrap. Ini menjadikan rakyat lagi tidak percaya kepada pembangkang dengan dasar kebebasan bersuaranya. Hakikat bahawa cadangan ini dibuat seorang bertaraf pengarah strategi lagi melucukan.

Dan apabila Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw, yang juga bekas wartawan akhbar Cina Nanyang Siang Pau membuat kenyataan: Kalau bercakap pasal Islam, saya mungkin jauh lebih tahu dan faham berbanding orang UMNO kerana mempelajari keindahan Islam daripada Dewan Ulama dalam PAS, sudah tentu rakyat menganggap ini sebagai satu lagi bukti kecelaruan minda dan sikap dalam PAS yang kini menjadi parti terkecil dalam pakatan pembangkang. -Bharian.

No comments:

Post a Comment