Sunday, July 21, 2013

Zahid: Tak mahu jawatan MB satu perangkap



Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa PAS tidak mahu jawatan menteri besar Terengganu jika parti itu menang dalam pilihan raya kecil DUN Kuala Besut adalah "satu perangkap".

"Ini satu lagi perangkap yang bakal memerangkap keadaan di Terengganu. Jangan (rakyat) mudah terjebak dengan perangkap itu.

"Mustahil mereka tidak menuntut sebarang kerusi jika mempunyai perubahan di kerusi DUN dengan keadaan 16:16," katanya dalam sidang media di Markas Taktikal PDRM di Kuala Besut hari ini.

Sehubungan itu, beliau merayu supaya pengundi di DUN Kuala Besut tidak terjebak dengan kempen yang disifatkannya sebagai "riverse psycology" PAS.

Sebaliknya, tegasnya, pengundi perlu memberi kepercayaan kepada calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Dalam ceramahnya malam kelmarin, Abdul Hadi yang juga ahli Parlimen Marang antara lain berkata parti itu mahukan kedudukan kerusi seri 16:16 bagi membolehkan mereka menegur pentadbiran negeri sedia ada jika melakukan kesilapan.

Mengulas lanjut, Zahid yang juga naib presiden Umno mengingatkan pengundi bahawa akan berlaku 'kerajaan tergantung' dan mendakwa akan menyebabkan ketidakstabilan politik di Terengganu jika "teori 16:16" menjadi kenyataan.

"Oleh sebab itu, pengundi di Kuala Besut cukup penting untuk menentukan masa depan Terengganu. Kalau kerajaan tergantung, kerajaan negeri tidak boleh dibentuk.

"Akan berlaku kekecohan siapa yang boleh bentuk kerajaan, kerana mempunyai kerusi yang seimbang. Oleh itu, tentukan BN menang terus, dengan memperoleh kerusi yang ke-17," katanya.

Sementara itu, Zahid yang juga ahli parlimen Bagan Datoh menyifatkan pilihan raya kecil ini paling tenang dalam sejarah dan sebanyak empat laporan polis dibuat berhubung perjalanan kempen.

Sambil berharap trend itu berlanjutan sehingga kempen tamat, beliau berkata sebanyak 2,789 anggota polis dikerahkan bertugas pada pilihan raya itu dan perbelanjaan sebanyak RM10.4 juta untuk PDRM mengendalikan pilihan raya ini.-Mkini.

No comments:

Post a Comment