Sunday, July 21, 2013

PRK #KualaBesut : Polis Kesan Ceramah Tanpa Permit





Ketua Polis Daerah Besut, Kamaruddin Mohd. Zakaria


BESUT: Polis mengesan satu ceramah tanpa permit oleh sebuah parti politik sejak kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut bermula 12 Julai lalu.

Ketua Polis daerah, Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, ceramah yang dilakukan secara bergerak itu dikesan di Pasar Tani Kuala Besut baru-baru ini.

"Pihak polis sudah membuka satu kertas siasatan berhubung insiden itu dan siasatan lanjut juga kini sedang dijalankan.

"Saya ingin mengingatkan sekali lagi kepada semua parti politik bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengadakan ceramah tanpa permit sepanjang kempen pilihan raya ini berlangsung," katanya pada sidang media di sini, Ahad.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 24b (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memberi kuasa kepada pihak polis untuk memberhentikan ceramah tersebut.

Selain itu Kamaruddin berkata, pihaknya juga mengesan trend terbaharu oleh segelintir penyokong parti yang bertindak mengedar risalah berkaitan calon di bahu jalan hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Tindakan itu bukan sahaja membahayakan keselamatan malahan menyebabkan kesesakan.

"Saya sarankan supaya penyokong parti mencari tempat yang bersesuaian untuk mengedarkan sebarang risalah atau bahan kempen supaya tidak menganggu hak pengguna jalan raya yang lain," katanya.-Mstar.

No comments:

Post a Comment