Friday, July 12, 2013

Saya mahu jadi wakil rakyat, bawa suara rakyat'


BESUT: Calon PAS pagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut Endot@Azlan Yusof menegaskan, beliau mahu menjadi wakil kepada rakyat dengan membawa suara rakyat agar hak mereka ditunaikan.

Menurutnya, ia berbeza dengan wakil rakyat yang menjadi "wakil kerajaan" di mana tugas mereka menjadi terbalik dengan membawa apa yang kerajaan mahu dan bukan apa yang rakyat mahu.

"Kalau kita wakil kepada kerajaan, kita hanya bawa hak kerajaan kepada rakyat. Saya nak ubah dan saya mahu menjadi wakil kepada rakyat dan rakyat akan terus dibela," katanya ketika ditemui Harakahdaily sejurus diumumkan sebagai calon bertanding bagi PRK Kuala Besut hari ini.

Endot @Azlan Yusof yang lebih dikenali sebagai Che Long akan berdepan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Kempen bersih

Mengulas pendekatan kempen yang akan digunakan, Che Long berkata beliau tidak akan menyentuh soal peribadi calon BN dalam kempennya, sebaliknya beliau akan membawa agenda serta perjuangan kebajikan rakyat yang dibawa oleh PAS dan Pakatan Rakyat.

"Saya akan memulakan kempen selepas solat Jumaat iaitu akan bertemu dengan pengundi-pengundi, manakala sebelah petang saya akan ke rumah-rumah pengundi di sebelah pantai dan akan berbuka puasa di situ," katanya.

Beliau juga turut mengulangi penegasanya bahawa tidak akan menggunakan elaun wakil rakyat untuk kepentingan peribadi, tetapi untuk kebajikan rakyat serta memasti kehendak rakyat itu dipenuhi.

Bagi PRK Dun Kuala Besut ini, pengundian awal akan diadakan pada 20 Julai, manakala pengundian biasa pula pada 24 Julai.

PRK Dun Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar dari BN pada 26 Jun lalu akibat komplikasi paru-paru.

PAS yang sebelum ini pada Pilihan Raya Umum ke-13 telah meletakkan Napisah Ismail namun tewas kepada Dr A Rahman dengan majoriti 2,434 undi.

No comments:

Post a Comment