Thursday, July 18, 2013
Pusat komuniti dibina di Pulau Perhentian
KUALA BESUT - Penduduk Pulau Perhentian di sini bakal memiliki pusat komuniti baharu manakala gelanggang bola pantai sedia ada akan ditambah baik, selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan ( Gambar ) berkata kedua-dua projek itu akan dibiayai menerusi peruntukan RM1 juta yang diberi kepada Majlis Daerah Besut bagi tujuan pembangunan di pulau terbabit.
"Cadangan untuk membaik pulih gelanggang bola pantai datang daripada golongan muda di sini. Oleh itu kita akan membina astaka dan juga pagar supaya bola tidak lagi keluar daripada gelanggang semasa mereka bermain.
"Pusat komuniti pula akan dilengkapi dengan pejabat bomba sukarelawan, pejabat anggota jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung serta dewan serba guna bagi menggantikan dewan asal yang usang," katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Geran Bomba berjumlah RM3,000 kepada pasukan bomba sukarelawan Pulau Perhentian di, sini hari ini.
Abdul Rahman juga berkata pihaknya telah mengenal pasti 55 projek lain seperti membina longkang dan membaik pulih jalan raya yang akan dilaksanak di pulau itu.
Beliau menjelaskan bahawa perancangan membangunkan kemudahan di pulau itu sebenarnya telah dilakukan sejak awal tahun lagi, namun tidak dinyatakan secara terbuka.
Ketika meluangkan masa melawat rumah beberapa penduduk untuk menyampaikan sumbangan alat pemadam api, Abdul Rahman juga melahirkan rasa kagum dengan tahap kebersihan di pulau itu.
"Majlis Daerah Besut membelanjakan kira-kira RM70,000 untuk memastikan supaya sampah di Pulau Perhentian dikumpulkan di satu tempat untuk dibawa ke tapak pelupusan sampah di tanah besar, setiap dua hari sekali bagi memelihara alam sekitar," katanya.
Beliau berkata proses itu adalah sebahagian daripada cara untuk menjaga alam sekitar terutamanya di pulau-pulau lain yang menjadi destinasi pelancongan negara. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment