Thursday, July 18, 2013

PRK #KualaBesut : Tindakan PAS Bunuh Karektor Calon BN Dikesali



JERTIH: Tindakan penceramah PAS yang bertindak membunuh karektor, menabur fitnah dan menghentam secara melampau terhadap calon Barisan Nasional (BN) pada kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut amat dikesali.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, berdasarkan maklumat yang diterima ada di kalangan penceramah parti lawan mengkritik calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman secara melampau.

"Saya minta pemimpin PAS supaya mengotakan kata dan tengok sedikit mereka yang berkempen supaya mengawal sedikit tindakan mereka.

"Cara berkempen pada Ramadan sepatutnya dilakukan secara harmoni, cukup bercerita mengenai calon kita. Tak perlu terlalu agresif dan jangan nanti amalan mulia kita pada bulan Ramadan ditolak kerana memfitnah," katanya ketika ditemui sempena program Ramadan Prihatin di Kampung Nangka, Besut, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Kolej Poly-Tech MARA, Mohd Aziz Jamman.

Sohaimi berkata, calon yang diutarakan oleh BN berupaya melaksanakan kerja dan mencapai sasaran ditetapkan serta berkaliber untuk mewakili penduduk di Kuala Besut.
"Calon BN, nampaknya beliau begitu bersemangat dan bertenaga, ada kelulusan dan pendidikan, anak ustaz. Beliau juga mudah mesra, ramah dan nampaknya memang calon kriteria pilihan.

"Pengundi kena buka mata terhadap calon yang diutarakan oleh BN dan calon terbaik bagi menggantikan ADUN yang meninggal dunia.

"Selepas mendekati, beliau sangat memenuhi kriteria menjadi ADUN dan pengundi tidak boleh melepaskan peluang keemasan untuk memilih seorang wakil rakyat yang berpotensi," katanya.

Katanya, pengudi terutama golongan muda sepatutnya menunaikan tanggungjawab dengan mengundi calon orang muda dan memberi sokongan bagi meneruskan perjuangan membela masa depan rakyat.

Sementara itu, Sohaimi berkata, program Ramadan Prihatin anjuran KPTM dan Pemuda UMNO itu bertujuan menziarahi rumah golongan fakir miskin di sekitar Kampung Nangka.

Katanya, bantuan membaiki pulih rumah keluarga miskin akan dilaksanakan termasuk membaiki bumbung, pendawaian elektrik dan kemudahan tandas.

"Kita juga bawa pelajar kejururawatan KPTM bagi memberikan nasihat kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) berkaitan penyakit," katanya.

No comments:

Post a Comment