Sunday, July 14, 2013
Muhyiddin Bidas Pihak Dakwa BN Tidak Ikut Islam
BESUT: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar tindakan parti politik tertentu yang mendakwa dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) menyimpang daripada landasan Islam.
Sehubungan itu beliau mencabar pihak berkenaan supaya mengatakan bahawa usaha yang dilakukan kerajaan seperti pembinaan institusi tertentu sehingga tertegaknya syiar Islam di Malaysia sebagai bertentangan dengan agama.
Tegas Muhyiddin, pemberian pelbagai inisiatif termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta penyediaan pelbagai kemudahan lain seperti rumah mampu milik merupakan projek pembangunan yang tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
"Ini bukan kempen pilihan raya, tapi menceritakan perkara benar. Sebab ada orang cabar kita. Baru-baru ini saya dengar beberapa pemimpin parti politik tertentu berkata apa yang dibuat oleh Umno tidak Islam dan bercanggah dengan agama dan Umno tidak berjuang berlandaskan Islam.
"Kenapa mereka kata begitu kerana dari soal akidah ia perkara berat. Menuduh seorang Islam berbuat sesuatu yang dikatakan bertentangan dengan agama walaupun ia adalah suatu ibadah...saya tidak boleh nak sebut apa hukumnya, terserah pada kebijaksanaan masing-masing untuk menilai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah pangsapuri empat tingkat di tapak projek di Kampung Lay Out Tok Saboh, di sini, Sabtu.
Selain itu Muhyiddin berkata projek pembangunan yang dilakukan kerajaan itu tidak pernah ditakrifkan sebagai haram atau tidak harus dilaksanakan oleh para mufti, tokoh agama, dan majlis Fatwa Kebangsaan.
Mengulas lanjut Muhyiddin meminta rakyat supaya tidak terpedaya dengan tuduhan sebegitu hanya kerana seseorang itu berbeza fahaman politik.
"Hanya kerana saya pakai baju biru dan tak berjubah...takkanlah begitu halnya (menyimpang landasan Islam). Perkara yang betul sepatutnya cakap betul, yang baik cakap baik. Itulah Islam yang sebenar.
"Bukan yang betul dikatakan tidak hanya kerana partinya lain. Pimpinan dalam BN sebahagian besarnya faham, mereka juga dipandu oleh hukum, rukun dan tuntutan agama.
"Jadi, apabila tibanya pilihan raya, sokonglah BN, tidak salah," katanya. -Mstar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment