Friday, July 12, 2013
Kemenangan BN Di #KualaBesut Penting Untuk Kestabilan Terengganu - Muhyiddin
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peranan dan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut penting untuk kestabilan pentadbiran dan pembangunan Terengganu.
Timbalan Perdana Menteri berkata bagi memastikan keadaan stabil dikekalkan, BN mempertaruhkan calon Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, kerana yakin ketokohan dan latar belakang yang dimiliki jurutera itu mampu menarik sokongan pengundi untuk kekal memilih BN sebagaimana pilihan raya umum yang lalu.
"Peranan calon penting kerana DUN Terengganu kini tidak menentu tetapi saya harap selepas 24 Julai politik di negeri ini kembali dan kekal stabil di bawah BN.
"Saya punyai penuh keyakinan berdasarkan ketokohan, kelulusan, pengalaman dan latar belakang calon dan keluarganya BN mampu mendapat sokongan," katanya pada sidang media selepas tamat proses pencalonan di Kompleks Rakan Muda Kuala Besut di sini Jumaat.
Hadir sama calon BN Tengku Zaihan dan Timbalan Pengarah Pilihan raya BN bagi pilihan raya itu, Datuk Seri Idris Jusoh.
Muhyiddin, yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi DUN Kuala Besut mengulangi keyakinan yang BN mampu mengekalkan kerusi itu dengan pertambahan majoriti kerana berdasarkan laporan yang diterima, tiada isu besar yang perlu ditangani kerana kebanyakannya telah diselesaikan pada PRU13 lepas.
Pada PRU13, BN menerusi calonnya, Dr A.Rahman Mokhtar menewaskan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. Beliau meninggal dunia pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.
Timbalan perdana menteri berkata pemilihan Tengku Zaihan bukan sahaja mampu meneruskan kecemerlangan pembangunan yang dibawa Allahyarham, malah calon muda itu dilihat mampu membawa suara dan inspirasi generasi muda di Kuala Besut ke peringkat sepatutnya.
"Isu berhubung kait dengan soal pertanian dan perikanan juga telah diambil kira, namun apa-apa isu berbangkit berhubung perkara itu akan ditangani semasa tempoh berkempen.
"Dengan terpilihnya Tengku Zaihan nanti, masalah tersebut akan dapat dilihat dengan lebih dekat," katanya.
Berhubung kempen, Muhyiddin berkata gerak kerja BN akan disesuaikan dengan bulan Ramadan, namun cara berhemah yang bakal,dipraktikkan itu, tetap berkesan kepada pengundi.
Beliau berkata Kuala Besut dan Besut secara amnya bukanlah kawasan yang asing bagi BN kerana pemimpin dan wakil rakyatnya telah lama bertapak di situ dan sudah tentu masyarakat setempat tahu apa yang boleh wakil BN tawarkan.
Pembangunan infrastruktur, fizikal dan syiar Islam yang dibawa pemimpin BN ke kawasan itu jelas menunjukkan BN mendapat sokongan lebih baik daripada masyarakat setempat.
Ditanya apakah BN bimbang dengan slogan 16-16, yang merujuk kedudukan DUN Terengganu sekiranya PAS menang pada pilihan raya kecil itu, Muhyiddin berkata beliau tidak mahu membuat jangkaan kepada perkara yang belum tentu terjadi.
"Saya tak fikir kita perlu pergi melangkaui sempadan, dengan membuat andaian-andaian yang tidak tentu berlaku. Lebih baik tumpu pada proses pilihan raya, selesaikan dan Insya-Allah kita akan dapat mengatasi segalanya.
"Saya juga tak mahu komen pasal parti lawan, yang saya tahu saya nak jual produk saya, produk kita ialah Tengku Zaihan, calon berkaliber, ada kelulusan, anak seorang ustaz, profesional dan orang muda dan saya fikir pengundi Kuala Besut bijak untuk menimbang apa yang perlu mereka lakukan," katanya.
Muhyiddin kemudian meluangkan masa melawat bekas senator dan bekas Ketua Wanita Umno Terengganu, Wan Ramlah Ahmad, 67, yang menghidap masalah darah tinggi di Kampung Paya Rawa, kira-kira 200 meter dari tempat penamaan calon.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Tengku Zaihan dengan calon PAS Endot@Azlan Yusof.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment