Tuesday, July 23, 2013

GAYA DAN CARA CALON PRK N1 KUALA BESUT MERAIH UNDI



Kempen PRK N1 Kuala Besut sudahpun memasuki Fasa terakhir yang mana pelbagai strategi dan teknik akan keluar demi mendapatkan undi rakyat. Calon BN seperti biasa tetap dengan cara menjelajah segenap pelusuk kawasan dalam DUN Kuala Besut untuk bertemu pengundi. Beliau menggunakan kaedah turun ke dasar berjumpa pengundi untuk memperkenalkan diri dan menyelami hati dan hasrat rakyat Kuala Besut.



Berbanding dengan calon BN, Calon PAS dilihat menggunakan kaedah senyap dan sunyi. Setiap pentas ceramah yang beliau singgah, amat sukar untuk beliau mengeluarkan suara emasnya. Beliau lebih selesa berdiri, tersenyum dan melambaikan tangannya. Mungkin dengan lambaian tangannya akan tersebar aura yang tidak kelihatan untuk mencairkan hati pengundi untuk tertarik memilihnya. Mungkin juga beliau tidak begitu teruja untuk mengeluarkan kata-kata hikmatnya kerana jika menang nanti beliau sedia maklum tidak mahu menjalankan amanah rakyat sebagai Yang Berhormat dan sebaliknya akan mengajikan orang lain untuk menggantikan tempatnya sebagai wakil rakyat.

Seperti yang beliau katakan, beliau adalah seorang kontraktor paling berjaya di Kelantan. Beliau juga mengatakan beliau mampu menjalankan kerja yang diberi oleh Kerajaan Kelantan bernilai puluhan juta ringgit tanpa memerlukan pinjaman atau pendahuluan dari Kerajaan Kelantan. Kata-kata beliau mungkin menunjukkan kejayaannya dan juga menzahirkan kekayaannya melalui kata-katanya. Namun ada juga yang merasakan kata-kata beliau menampakkan keangkuhan dan ada unsur riak.

Ciri-ciri calon PAS ini jelas berbeza dengan peribadi dan cara calon BN yang nampak bersungguh-sungguh untuk bertemu seramai mungkin pengundi. Tengku Zaihan dilihat tidak menunjukkan keletihannya untuk terus menerus menjelajah segenap pelusuk Kuala Besut hanya untuk bertemu pengundi. Dalam ucapan kempennya juga beliau jelas merayu dan meminta diberi kepercayaan rakyat kuala besut untuk mewakili rakyat kuala besut di Dewan Undangan Negeri Terengganu dan seterusnya menjalankan tugas seperti yang diamanahkan.

Keperibadian yang berbeza antara dua calon ini jelas boleh dijadikan kayu pengukur keikhlasan dan kemampuan mereka untuk menjadi wakil rakyat di Kuala Besut. Kuasa memilih ada ditangan pengundi dan akan dizahirkan sokongan pada Rabu 24hb Julai 2013 ini. Pilihlah dengan penuh kebijaksanaan dan satu undi dari anda adalah penentu kepada nasib rakyat Kuala Besut.

No comments:

Post a Comment