Monday, July 22, 2013
PRK #KualaBesut : Ramai Anggota BN Berkampung
KUALA BESUT - Kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, yang sudah memasuki pusingan akhir, menyaksikan lebih ramai anggota Barisan Nasional (BN) dan Pas berkampung di sini untuk mendekati para pengundi bagi meraih sokongan untuk memenangkan calon masing-masing.
Pilihan Raya Kecil Dun Kuala Besut ini menarik perhatian seluruh negara kerana ia akan menentukan sama ada BN kekal dengan 17 kerusi di Dun Terengganu atau terpaksa berkongsi kerusi 16-16 dengan pembangkang.
Jentera pilihan raya kedua-dua parti semakin memperhebat kempen sejak Jumaat lepas apabila lebih ramai pemimpin parti turun padang ke Kuala Besut selepas persidangan Dewan Rakyat berakhir Khamis lepas.
Dalam beberapa hari terakhir ini baru dirasai sedikit kehangatan kempen pilihan raya, yang jatuh pada bulan Ramadan, namun masih tetap tenang sebagai menghormati kehendak para pengundi yang mahu kempen dilakukan secara berhemah dan sederhana.
Penganalisis politik, Che Hamdan Che Mohd Razali melihat jentera pilihan raya BN lebih tersusun dengan bergerak dalam kelompok kecil dari rumah ke rumah serta mengadakan aktiviti usrah dan tazkirah di masjid dan surau, serta sentuhan peribadi calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, yang berusaha menemui seramai mungkin pengundi.
Berdasarkan pengamatan dan tinjauannya di sini, Che Hamdan berkata jentera BN yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berulang-alik turun padang dibantu Anggota Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, selaku Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Dun Kuala Besut, serta pemimpin sayap parti serta Anggota Majlis Tertingi Umno jelas mantap.
"Tanpa isu nasional seperti hak asasi manusia dan rasuah, pertembungan Pas dan Umno ini lebih tertumpu kepada isu-isu tempatan dan soal-soal pembangunan kawasan serta masyarakat setempat," katanya ketika dihubungi Bernama.
Mengakui pilihan raya kecil ini tenang, beliau berkata gandingan serasi Idris dan Tengku Zaihan, bekas jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran, memberi keyakinan kepada rakyat di Kuala Besut untuk menerima baik agenda pembangunan yang dirancang, diperkukuhkan lagi dengan rekod perkhidmatan Idris sebagai bekas Menteri Besar Terengganu.
"Idris banyak berjasa di Terengganu. Pembangunan pesat di Terengganu banyak dicetuskan oleh Idris dan saya melihat pengaruhnya masih kuat di Besut," kata pensyarah kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun.
Di atas kertas, aura Idris dan kedudukan Kuala Besut, yang dikenali sebagai kubu kuat BN, dilihat memberi kelebihan kepada BN untuk mengekalkan kerusi.
"Jentera kempen bergerak dengan cukup tersusun malah calon (Tengku Zaihan) sudah memasuki semua kawasan mengundi. Penerimaan masyarakat baik dan memberangsangkan," kata Idris, yang juga Menteri Pendidikan Kedua.
Pada pilihan raya yang cukup signifikan itu, BN menetapkan tema 'Kuala Besut Bertambah Biru' untuk mengekalkan status quo.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said turut berkampung di Kuala Besut bekerja keras bersama wakil rakyat yang lain untuk mengekalkan kemenangan BN.
Kehadiran pemimpin parti komponen BN seperti Timbalan Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu bagi meraih sokongan 125 pengundi Cina serta Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam untuk menemui sekumpulan kecil masyarakat India mengukuhkan lagi jentera pilihan raya BN.
Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Malaysia Fathul Bari Mat Jahaya berkata pendekatan kempen pilihan raya BN yang menekankan konsep mendekati rakyat dan penjelasan dalam kumpulan kecil sangat berkesan, seiring dengan nilai dan semangat menghormati kesucian Ramadan yang mulia.
"Perubahan konsep kempen tanpa perlu mengadakan ceramah umum adalah satu pendekatan matang untuk menyelami dan mengetahui masalah rakyat sebenarnya. Landskap politik negara ini sudah berubah, strategi sentuhan dan engagement dengan rakyat memberi impak lebih besar," katanya.
Melihat kempen Pas, parti itu mengekalkan pendekatan mengadakan ceramah umum dengan membawa Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta sekutunya Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.
Jika kehadiran orang pada ceramah umum menjadi kayu pengukur, ia mungkin mengatasi BN. Sejauh mana kebenaran penduduk Kuala Besut menghadiri ceramah umum itu tidak diketahui kerana berdasarkan pemerhatian, dilihat lebih banyak kenderaan luar Terengganu yang diparkir.
Pas yang tampil dengan agenda '16-16', merujuk kepada kedudukan kerusi Dun Terengganu andai Pas berjaya merampas Dun Kuala Besut pada pilihan raya kecil ini, mempertaruhkan ahli perniagaan, Endot @ Azlan Yusof, 48.
Setelah mendengar hujah-hujah yang dibentangkan kedua-dua parti bertanding, sejumlah 16,534 pengundi biasa yang akan menunaikan tanggungjawab Rabu ini pastinya sudah boleh membuat keputusan calon mana menjadi pilihan untuk memperjuangkan untung nasib dan masa depan mereka.
Dun Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi dan daripada jumlah itu, 17,463 ialah pengundi Melayu, Cina 125 manakala selebihnya pengundi lain-lain bangsa.
Pada pengundian awal di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Gong Kedak, Sabtu lepas, 79.36 peratus atau 911 daripada 1,148 anggota tentera dan npolis serta pasangan mereka keluar mengundi.
Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, akibat kanser paru-paru pada 26 Jun lepas. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment