Monday, July 22, 2013
PRK #KualaBesut : Hari Mengundi Biasa - SPR
JERTIH: Seramai 16,534 pengundi akan mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, pihaknya sudah menyediakan lapan pusat mengundi dengan 35 tempat atau saluran mengundi.
Katanya, pusat mengundi akan mula dibuka untuk pengundian mulai jam 8 pagi dan ditutup pada jam 5 petang.
"Hanya satu pusat mengundi iaitu Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian yang dibuka pada jam 8 pagi dan ditutup pada jam 3 petang," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Pengundi yang akan keluar mengundi pada Rabu ini dinasihatkan supaya membuat semakan awal maklumat pengundian masing-masing seperti nama pusat mengundi, nombor saluran dan nombor siri mengundi melalui kaedah-kaedah iaitu laman sesawang SPR (www.spr.gov.my), khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888 atau menelefon ke Call Centre SPR di talian 03-88856565 atau pejabat Pilihan Raya Negeri di talian 09-6221218.
Abdul Aziz berkata, mereka yang belum membuat semakan, boleh dibuat di barung-barung SPR yang disediakan di pusat-pusat mengundi.
"Pada hari mengundi, tidak dibenarkan sebarang pembukaan, penubuhan atau penyelenggaraan mana-mana pondok atau barung oleh parti politik dengan alasan untuk membantu pengundi menyemak maklumat pengundian mereka," katanya.
Selain itu, beliau berkata, tempoh berkempen bagi PRK Kuala Besut yang bermula pada 12 Julai lalu akan berakhir pada jam 11.59 malam, esok.
"Selepas itu, tidak dibenarkan lagi sebarang aktiviti berkempen terutamanya pada hari mengundi. Aktiviti merayu dan meraih undi pada hari mengundi adalah dilarang sama sekali dan ia satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Sementara itu, katanya, sebagai menghormati Ramdan, SPR hanya akan mengisytiharkan keputusan PRK Kuala Besut pada jam 10 malam atau selepas itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment