Tuesday, July 16, 2013

PRK Kuala Besut: Imbau Nostalgia Pengundi PRK 1979



KUALA BESUT – Pada 24 Julai, Ismail Omar dari Kampung Tengah di sini akan sekali lagi melangkah ke pusat pengundian memilih wakil rakyatnya melalui pilihan raya kecil (PRK) di bulan Ramadan, perkara yang sama dilakukannya 34 tahun lepas.

Apabila PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut diumumkan akan diadakan berikutan kematian Dr A.Rahman Mokhtar pada 26 Jun lepas, ia mengembalikan nostalgia kepada Ismail, 74, yang pernah merasai suasana berkempen dan mengundi pada bulan puasa untuk kerusi yang sama pada 1979.

Beliau berkata apa yang paling ketara berbanding kempen sekarang ialah pada ketika itu kenderaan kereta masih kurang digunakan dan ia membataskan pergerakan kempen turun padang calon terutama di kawasan pedalaman.

“Masa dulu memang ada kereta, tapi gaji berapalah sangat… biasanya calon parti turun kempen hanya naik motosikal saja dan kadang-kadang mereka terpaksa berjalan kaki masuk ke kampung kalau kawasan itu tidak boleh dihubungkan melalui kenderaan,” kata pesara guru itu.

Pada PRK Kuala Besut 1979 itu, Ismail berkata kemudahan seperti peralatan pembesar suara dan kanopi tidak banyak digunakan.

“Kadang-kadang calon masa dulu berucap tanpa perlu berbumbung dan sampai hilang suara kerana berucap kadang-kadang tanpa guna pembesar suara. Tapi orang ramai hadir dengar ceramah walaupun tiada peralatan canggih,” katanya.

Pada PRK Ramadan Kuala Besut 1979, calon BN Datuk Wan Zakaria Wan Abdul Rahman menang dengan majoriti 797 undi mengalahkan calon PAS Husin Jusoh.

Penduduk Kampung Gong Nerang, Ghani Hassan, 66, pula berkata paling ketara kempen dahulu tiada perang siber, media sosial dan tohmahan melalui Internet.

“Dulu-dulu pun kempen mudah saja tidak macam sekarang. Masa itu juga menteri-menteri takdok yang mari, sekarang habis semua mereka pakat mari sini,” katanya dalam loghat tempatan. Beliau kelihatan sihat dan masih bekerja sebagai pemandu jentera berat di sebuah kilang papan di sini.

Katanya cara berkempen ketika itu banyak tertumpu di sebelah pagi dan selepas solat Tarawih.

Rafeah Awang Hamat, 62, yang pernah membantu kempen untuk Barisan Nasional pada PRK 1979 berkata petugas parti yang datang membantu ketika itu terhad kepada negeri Kelantan dan Pahang berbanding sekarang yang datang dari seluruh pelusuk negara.

“Pekan ini yang biasanya tak sibuk, bila pilihan raya tiba-tiba boleh sesak kereta yang datang entah dari mana.

“Tapi yang bagusnya, ini sedikit sebanyak beri pendapatan tambahan terutama buat peniaga, lebih-lebih lagi kepada penjual makanan di bulan puasa ini,” katanya yang menetap di Kampung Gong Nering di sini.

Wan Zakaria, calon BN pada PRK Kuala Besut 1979, berpendapat kempen pilihan raya dalam bulan Ramadan perlu lebih berhemah dan semua pihak harus berhati-hati dalam segala perbuatan dan pertuturan untuk memenangi hati pengundi.

Pada 24 Julai ini, PRK Kuala Besut 2013 menyaksikan pertandingan satu lawan satu melibatkan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan calon PAS Endot@Azlan Yusof.

DUN Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment