Tuesday, July 9, 2013

Mood Pengundi Kuala Besut Baik, 16:16 Boleh Dicapai- PAS Besut


BESUT: PAS Besut mengajak rakyat khususnya para pengundi di N1 Kuala Besut agar bangkit menuntut hak mereka yang selama ini ‘dicuri’ untuk dikembalikan semula melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 24 Julai nanti.

Bendahari PAS Besut, Azlan @ Endut Yusuf(gambar) berkata proses tersebut memerlukan keberanian bagi memilih PAS mewakili Pakatan Rakyat.

Menurutnya, tindakan tersebut bukan sekadar keberanian memprotes tetapi perlu diterjemahkan melalui peti undi yang dijamin selamat.

“Sudah ketikanya persekitaran kita (Besut) diubah. Fenomena dan lanskap politik di Terengganu perlu diolah secara yang lebih realistik.

“Kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) sengaja membiarkan rakyat berada pada skala kehidupan yang statik dan menjadikan pemberian bantuan sebagai umpan untuk meraih sokongan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan mesra Che Long menegaskan PAS tidak bakhil untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas dasar keprihatinan membantu rakyat.

Namun, katanyag bantuan dan keprihatinan tersebut bukanlah hanya bermusim ketika menjelang pilihan raya sahaja seperti sekarang.

“Kalau pilihan raya kecil sebagai ‘basic’ untuk kerajaan turun bersimpuh di hadapan rakyat, maka wajar rakyat bergerak ke arah merealisasikan harapan, slogan dan formula 16:16 yang dilihat boleh melorongkan kepada suatu laluan ke arah Pilihan Raya Negeri semula bagi membolehkan sebuah kerajaan yang kuat, padu dan berwibawa dibentuk untuk menerajui pemerintahan kerajaan negeri Terengganu,” jelasnya.

Menurutnya, berdasarkan ‘mood’ yang ada, kedudukan 16:16 tidak mustahil boleh dicapai kerana keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dengan kedudukan kerusi 15:17 membuktikan rakyat sedang bergerak ke arah perubahan.

No comments:

Post a Comment