Friday, July 19, 2013

Kempen PRK Kuala Besut lambat panas



KUALA BESUT: Kempen pilihan raya kecil Kuala Besut yang dianggap lambat panas, dijangka akan bertambah rancak menjelang hari pengundian pada 24 Julai, berdasarkan pertambahan poster, bendera dan kunjungan pemimpin parti sejak semalam.

Ceramah besar yang menghimpunkan ribuan penyokong memang tidak ada mungkin disebabkan PRK ini berlangsung dalam bulan Ramadan yang mempengaruhi suasana dan corak jentera parti turun berkempen.

Jentera kedua-dua parti yang bertanding - Barisan Nasional (BN) dan PAS - banyak berkempen mendekati pengundi pada sebelah pagi atau selepas solat Tarawih pada sebelah malam.

Selain itu, persidangan Dewan Rakyat baru berakhir semalam, yang mungkin punca ramai menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen tidak turun awal ke Kuala Besut untuk berkempen sejak penamaan calon pada 12 Julai.

"Penduduk pula lebih menumpukan masa mereka kepada ibadah puasa dan persiapan menyambut Aidilfitri," kata pemerhati.

Mohd Hassan Kundor, 56, dari Kampung Baharu di sini menyifatkan kempen pilihan raya kali ini paling relaks kerana kurang aktiviti.

"Pok (pak) lihat bendera dan poster banyak dipasang di kawasan ini dalam dua tiga malam lepas. Berbeza dengan sebelum ini, sebut sahaja pilihan raya, bendera dan segala kemeriahan sudah berlaku," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Beris Pak Abu, Anuar Mohd Musa, 47, berkata petugas parti BN beramai-ramai bertugas selepas pukul 10 malam.

Mereka tidak mengalami sebarang provokasi daripada petugas pembangkang.

"Kami duduk dalam kampung yang dikelilingi saudara-mara, cuma dipisahkan dengan ideologi berbeza dan soal politik, tidak bermakna kami perlu tarik muka," katanya.

Petugas BN cuba membawa kelainan dengan menggunakan beberapa kereta yang dipasang dengan lampu LED kelap-kelip lambang parti dan bergerak secara berkonvoi dari satu lokasi ke lokasi bilik gerakan parti.

Kos menghias ditanggung sendiri pemilik kenderaan itu yang menghabiskan RM800 hingga lebih RM1,500 untuk sebuah kenderaan.

"Saya membuat pemasangan lampu ini sebelum hari penamaan calon lagi dan tidak sangka konvoi kami mendapat sokongan moral daripada pemimpin dan orang ramai," katanya.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment