Friday, July 12, 2013
'Che Long' Tak Takut Hadapi Calon BN
BESUT: Calon PAS bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Endut @ Azlan Yusof yakin popularitinya sebagai ahli perniagaan tempatan mampu memberi kelebihan kepadanya untuk meraih sokongan pengundi.
Malah Azlan yang lebih mesra dengan panggilan 'Che Long' menegaskan beliau tidak takut untuk berhadapan dengan lawannya dari Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.
"Saya tak takut untuk berdepan dengannya," katanya pada sidang media di markas PAS di Kampung Baru di sini, Khamis.
Selain itu Azlan sekali lagi menyatakan keyakinannya untuk merampas kerusi DUN Kuala Besut yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu.
"Saya sangat yakin boleh menang...ini giliran kami (untuk menang)," katanya.
Ditanya apakah kelebihannya berbanding calon BN, Azlan berkata sebagai anak tempatan beliau sentiasa mendampingi serta mengenali rakyat tempatan dengan lebih dekat.
"Sudah lama saya sentiasa dengan rakyat. Saya berjanji jika saya dipilih, saya akan realisasikan harapan rakyat terutama soal kebajikan," katanya.
PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar dari BN yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu, akibat masalah paru-paru pada 26 Jun lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut yang dimenanginya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 mengatasi calon PAS, Napisah Ismail.
No comments:
Post a Comment