Friday, July 19, 2013

Bina perpaduan, elak sengketa di bulan mulia



Umat Islam khususnya di Malaysia menyambut kedatangan Ramadan Al-Mubarak dengan rasa syukur kerana dapat melaksanakan ibadah puasa dalam suasana aman. Di beberapa negara bergolak seperti Mesir, suasana Ramadan kali ini tentunya jauh berbeza berikutan konflik politik yang masih berlarutan. Di Malaysia, walaupun selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu, ada pihak berusaha mencetuskan kekacauan tetapi gagal kerana sebahagian besar rakyat yang matang dan waras tidak terpengaruh dengan hasutan pihak berkenaan kerana masih cintakan keamanan.

Bagi mereka yang memahami fadilat bulan mulia ini, ibadat puasa bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi kesempatan mengukuhkan saf dan membentuk sikap mulia dengan beramal salih. Sekarang masa terbaik untuk memperbaiki diri dengan mengerjakan solat Tarawih, berzikir, bersedekah, membaca al-Quran dan memakmurkan masjid. Tazkirah Ramadan yang lazimnya diadakan pada pertengahan solat Tarawih bertujuan mengingatkan jemaah mengenai keberkatan Ramadan dan hubungan sesama umat.

Kita berharap matlamat tazkirah yang bertujuan mengingatkan sesama ummah tidak disalahgunakan untuk kepentingan politik kepartian. Pada masa lalu, ada kecenderungan pihak tertentu menggunakan ruang solat untuk berpolitik. Tazkirah digunakan untuk menyemai kebencian kepada pihak lain. Jika keadaan ini berulang kita bimbang amalan ibadat di bulan mulia ini akan terjejas gara-gara politik kepartian yang tidak mengira tempat dan masa.

Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang secara kebetulan jatuh pada Ramadan, iaitu 24 Julai ini, sepatutnya menginsafkan semua pihak untuk bersatu hati dan berpolitik secara matang dan tidak bertentangan dengan syariat Islam. Elakkan bersengketa sesama umat walaupun kempen pilihan raya di Pantai Timur, khususnya Terengganu sentiasa hangat membabitkan persaingan UMNO dan PAS di kawasan majoriti orang Melayu.


Jadikan Ramadan sebagai benteng untuk mengelak fitnah, merosakkan hubungan insani dan menyemai kebencian. Amalan demokrasi membenarkan pilihan raya untuk menentukan wakil rakyat di kawasan berkenaan. Bagaimanapun akhlak Muslimin perlu dipelihara agar isu kepartian tidak menjarakkan hubungan ummah. Sekarang masa terbaik untuk kita bersatu bagi membentuk masa depan agama dan bangsa yang lebih gemilang.

Jadikan Ramadan sebagai medan meningkatkan perpaduan dan pembangunan ummah. Lebih penting, sebarang perbezaan pendapat perlu diselesai menerusi muzakarah yang mengutamakan tradisi keislaman semata-mata untuk mendapat keredaan Ilahi.

No comments:

Post a Comment