Wednesday, July 24, 2013

Tahap keselamatan di pusat mengundi terkawal: KPN


KOTA BHARU: Tahap keselamatan di lapan pusat mengundi yang dibuka pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut hari ini adalah terkawal, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. 

Katanya, walaupun kawasan sekitar pusat mengundi terbabit dipenuhi penyokong parti yang bertanding dan sesak dengan kenderaan, pengundi tidak perlu risau kerana aliran trafik dikawal polis. 
"Perjalanan PRK setakat ini lancar, keadaan keselamatan tidak ada apa-apa masalah," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau sebelum itu melawat anggota polis trafik, Inspektor Farid Hasni Mamat, 33, yang putus kaki kanan akibat kemalangan jalan raya di Kuala Besut, Terengganu pada Rabu lalu, di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian. 

Lapan pusat mengundi terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut; Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut; SK Alor Peroi; SK Kampung Nangka; SK Pulau Perhentian; SK Kampung Nail; SK Kampung Baharu dan SK Bukit Puteri. 

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan calon PAS Endot@Azlan Yusof. 

Ia diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN Kuala Besut Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.  - BERNAMA

No comments:

Post a Comment